Saya menggunakan istilah bodoh ini sebab tidak tahu nak guna istilah apa lagi. Sebab kita sendiri yang punahkan bahasa kita. Bukan negara atau bangsa lain yang suruh kita ajarkan ilmu dalam BI, tapi pemimpin kita sendiri.
Buku matematik dan sains ini tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; sarjana kita sendiri boleh menulisnya dalam bahasa Melayu, kecuali jurnal-jurnal ilmu dan hasil kajian ilmu dan saintifik yang benar-benar 'original', bahan seperti itu mungkin perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Teori baru itu pun tidak banyak orang mengetahuinya. Masa Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) ditubuhkan kita menggunakan buku dari Indonesia, malah pensyarah pun dari sana. Yang menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik, tidak ada masalah pun untuk memahami buku dalam bahasa Melayu-Indonesia. Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil. Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia.
PPSMI ini perlu dilihat dari segi konteks yang besar, bukan dari dua tiga orang pembuat dasar. Apa yang akan terjadi pada bangsa Melayu datang jika mereka tidak belajar sains dalam bahasa Melayu? Adakah mereka boleh mencipta ilmu baru, sains baru, teknologi baru dalam bahasa kita? Kita kena melihat masalah PPSMI ini dari sudut yang luas itu.
No comments:
Post a Comment